MUJAHID (kiri) ketika Sesi Dialog Bersama Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Kalbana Perimbanayagam
cnews@nstp.com.my


DRAF akta perkahwinan kanak-kanak bawah umur dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun ini sebelum dikemukakan kepada Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia berasaskan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diwujudkan hasil perbincangan beliau bersama hakim syarie sebelum ini.

Katanya, draf akta itu amat penting bagi menangani kes perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur pada masa depan.

“SOP itu cukup ketat berkaitan perkahwinan bawah umur 16 tahun dan perlu dipatuhi termasuk mengetahui latar belakang keluarga pengantin (perempuan) dan tahap kesihatannya sebelum diberi kebenaran berkahwin.

“Alhamdulillah, saya tengok SOP itu bagus dan terus minta semua hakim syarie mengikutinya.

“Saya juga sudah berbincang dengan Kabinet dan selepas dirujuk dengan hakim syarie, insya-Allah hujung tahun ini kita akan lihat draf kanun undang-undang ini yang komprehensif,” katanya.

Mujahid berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Dialog Bersama Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan kerajaan berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur membabitkan gadis berusia 15 tahun di Tumpat, Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan gadis itu berkahwin dengan pasangannya berusia 44 tahun selepas mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, Julai lalu, sekali gus menjadikan kes remaja bawah umur kedua di Kelantan yang berkahwin pada tahun ini.

Mujahid berkata, ketika ini hanya Selangor serta Wilayah Persekutuan mengikut SOP yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan berharap perkahwinan kanak-kanak bawah umur tidak lagi dieksploitasi oleh pihak tertentu atas dasar kemiskinan.

“Keprihatinan kita adalah tiada lagi eksploitasi perkahwinan bawah umur sama ada lelaki atau perempuan.

“Keduanya, kita tidak mahu kemiskinan dieksploitasi dan kanak-kanak itu menjadi mangsa seksual daripada satu perkahwinan.

“Apa yang penting, kebajikan anak-anak itu membabitkan soal pendidikan, ekonomi dan masa depan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 1:11 AM