KEADAAN lori dan kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Simpang Gunung Pulai, Pontian, hari ini. Soh dan Late Abdul Rafiq (gambar kecil) FOTO Ihsan JBPM Johor
Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


DUA lelaki maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh lori membawa muatan batu dan pasir yang terbabas dipercayai akibat kerosakan brek dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Simpang Gunung Pulai, Pontian, hari ini.

Kejadian berlaku jam 4 petang itu mengakibatkan pemandu kereta Soh Lip Soon, 60, dan penumpangnya Late Abdul Rafiq Imam Sharif, 50, warga Bangladesh, maut di tempat kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.17 petang.

“Maklumat awal diterima membabitkan sebuah lori seberat 30 tan melanggar sebuah kereta sebelum merempuh bengkel berhampiran.

“Lori bermuatan pasir dan batu itu dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum melanggar kereta dan sebuah bengkel,” katanya dalam kenyataan, malam ini.


Caption

Menurutnya, kejadian mengakibatkan dua lelaki maut di tempat kejadian dipercayai akibat rempuhan itu.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Katanya, pemandu lori selamat dalam kejadian dan membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum ketibaan pasukan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:32 PM