GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


LELAKI terpaksa menerima enam jahitan di bahagian dada bagi menyelamatkan nyawanya selepas ditikam teman wanitanya menggunakan serpihan botol kaca dalam kejadian di Jalan Cina, di Miri awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun ditikam ketika bersama suspek juga berusia 30 tahun sebelum suspek beredar meninggalkan mangsa.

Sumber memberitahu NSTP, hasil siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum kejadian.

“Suspek dan mangsa juga dilaporkan dalam keadaan mabuk,” katanya.

Katanya, suspek kemudiannya tiba-tiba menikam dada mangsa menggunakan serpihan botol kaca.

“Kejadian berpunca apabila mangsa mendakwa suspek cuma mempermainkannya dan tidak serius dalam hubungan mereka,” katanya.

Katanya, wanita itu kemudiannya beredar dan meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 6:04 PM