Caption<
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


SEPULUH penghuni Asrama Akhlak Gajah Mati, Pokok Sena, Alor Setar yang ditahan semula selepas melarikan diri dari asrama berkenaan direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias terhadap penghuni asrama berusia 14 hingga 17 tahun itu.

“Semua remaja itu direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan terhadap tindakan mereka melarikan diri dari pusat berkenaan kelmarin,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan 10 penghuni pusat berkenaan melarikan diri dari pusat pemulihan itu melalui pintu pagar bahagian belakang asrama sekitar jam 5.30 petang hingga 9 malam kelmarin.

Suspek termasuk seorang warga Thailand melarikan diri dengan mengumpil pintu dan pagar asrama itu.

Namun, mereka berjaya ditahan semula tidak sampai 24 jam selepas salah seorang daripadanya menyerah diri pada 5.30 pagi semalam.

Manakala, sembilan lagi remaja itu ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena.

Berita berkaitan

Nak lari ke mana adik...?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 5:53 PM