GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


KANAK-KANAK perempuan lima tahun lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jeti Kampung Pulau Beluru, Tumpat.

Kejadian berlaku 11.30 malam tadi ketika Nurawatif Damia Abdullah ingin membuang air kecil di jeti terbabit sebelum disedari dua abangnya yang ketika itu sedang menambat perahu.

Abangnya, Mohd Zulfadhli Abdullah, 25 berkata, dia dan dua adiknya itu baharu pulang menghantar bapa mereka, Abdullah Ismail, 48, di jeti Kok Majid tidak jauh dari kampung itu yang ingin ke tempat kerja di Kota Bharu.

“Selepas pulang dari jeti Kok Majid, kami bertiga menghala pulang dan sebaik tiba di jeti Kampung Pulau Beluru, Awatif terus naik ke jeti dan memberitahu seorang lagi adik, Mohd Zulfadqri, 11, dia ingin membuang air kecil.

“Saya ketika itu sedang menambat perahu dan terkejut apabila Zulfadqri tiba-tiba memberitahu Awatif terjatuh ke dalam sungai.

“Saya segera terjun di tempat Awatif terjatuh dan meraba di dasar sungai dan tidak dapat menyelam kerana air sedang pasang, namun tidak menemuinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat di sini, hari ini.

Mohd Zulfadhli terus mengarahkan Mohd Zulfadqri memanggil ibu mereka di rumah tidak jauh dari jeti berkenaan dan orang kampung turut dimaklumkan.

Usaha mencari Nurawatif dilakukan penduduk kampung dengan menggunakan peralatan mencandat sotong dan mengail.

Lebih 20 penduduk kampung berusaha mencari mangsa dan dua jam kemudian mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira lima meter dari lokasi jatuh apabila seluarnya tersangkut di alat mencandat sotong seorang penduduk kampung.

Mohd Zulfadhli berkata, anak bongsu dari enam beradik itu sering mengikutinya menghantar bapa mereka ke jeti Kok Majid dan akan makan dan minum terlebih dahulu di kedai kopi di jeti berkenaan.

“Tapi malam tadi Awatif tidak makan dan hanya minum air seteguk sahaja sebelum meminta telefon bimbit saya untuk bermain permainan.

“Ada sedikit perubahan yang ditunjukkan adik saya apabila dua hari kebelakangan ini dia terus tidur sebaik pulang dari sekolah sedangkan sebelum ini aktif bermain di luar rumah, namun kami tidak menjangkakan sesuatu yang pelik,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Keli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 11:19 AM