Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


LELAKI ditahan selepas dipercayai cuba merogol seorang wanita di dalam tandas sebuah stesen minyak di Bukit Beruntung, Ahad lalu.

Dalam kejadian pada 9.35 malam, suspek, 30-an, ditahan orang ramai selepas mangsa, 35, sempat melarikan diri ketika cuba dipeluk oleh lelaki itu.

Malah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian yang berdurasi satu minit turut tular di media sosial sejak semalam.

Dalam rakaman itu, mangsa dilihat berlari keluar dari tandas sebelum disusuli oleh suspek yang cuba melarikan diri, tetapi ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu operasi sekolah menggunakan tandas di stesen minyak berkenaan.

Katanya, sebaik memasuki salah satu tandas di situ, tiba-tiba seorang lelaki melompat dari bahagian atas siling untuk masuk ke dalam tandas digunakan mangsa.

“Sebaik melompat ke dalam tandas digunakan wanita itu, suspek cuba memeluk mangsa.

“Namun, mangsa yang terkejut sempat menjerit dan membuka pintu tandas seterusnya melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada suaminya yang menunggu di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan atau kelucahan melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 11:37 PM
Skip this ad x