DADAH yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my

PASANGAN kekasih diberkas bersama sejumlah dadah bernilai hampir RM15,000 di hadapan sebuah hotel di Taman Inderawasih, Prai, jam 6 petang semalam.

Dalam kejadian itu sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) mengesan kereta dinaiki pasangan itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis kemudian menahan lelaki berusia 26 tahun sejurus teman wanitanya berusia 23 tahun memasuki hotel.

Katanya, polis yang memeriksa badan suspek tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang sebelum menemui satu beg hitam di tempat duduk belakang kereta.

Katanya, beg itu didapati mengandungi peralatan untuk menghisap dadah, pisau bersarung berukuran 30 sentimeter, alat penimbang, alat membungkus dadah, buku lima, plastik lut sinar serta bekas biru mengandungi daun kering disyaki dadah jenis kanabis.

“Polis kemudian memeriksa bahagian dalam bumbung kereta dan menemui satu beg kecil di dalamnya terdapat 10 paket plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

“Selain itu polis juga menemui bekas kecil biru yang di dalamnya terdapat 10 paket plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan pada bahagian bonet belakang kereta menemui satu tong putih yang didalamnya terdapat satu bungkusan plastik merah mengandungi pelbagai dadah termasuk heroin dan methamphetamine.

Menurutnya, sejurus pemeriksaan, polis memeriksa sebuah bilik di tingkat dua hotel, sebelum mendapati wanita itu sudah tiada dan hasil pemeriksaan di dalam bilik tidak menemui senjata atau dadah.

“Hasil pemeriksaan polis menemui wanita itu bersembunyi di belakang hotel sebelum dia dan teman lelakinya diberkas polis.

“Kedua-duanya tidak bekerja dan menjalankan aktiviti pengedaran dadah berdasarkan jumlah dadah yang dirampas,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semua barang dirampas untuk tindakan susulan dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM14,872.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7(1) Akta Barang Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 6:10 PM