Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my

POLIS Marin merampas rokok seludup bernilai RM278,800 di pangkalan haram Badang, Pengkalan Kubor, di Tumpat, hari ini.

Rampasan itu dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, pada 10 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat hasil risikan.

Beliau berkata, ketika serbuan, empat lelaki berada di tepi pangkalan itu sedang memunggah bungkusan kotak rokok yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

“Suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki dua bot bersama sejumlah rokok yang berada di tepi tebing ke perairan negara jiran.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada van Toyota Hiace menemui 41 kotak mengandungi 2,050 karton rokok jenama Astro,” katanya ketika sidang media di Pejabat PPM di Pengkalan Kubor, di Tumpat, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, pihaknya kemudian merampas van dan rokok berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok seludup diambil dari Lembah Klang, Selangor untuk pasaran negara jiran.

Menurutnya, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengikut Akta Kastam 1967.

“Siasatan lanjut juga masih dilakukan berhubung rampasan rokok berkenaan. “Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian sama supaya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 5:29 PM
ANTARA rokok yang dirampas, FOTO Syamsi Suhaimi