Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@ntp.com.my


SURI rumah kerugian lebih RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan lelaki yang memecahkan cermin kereta Audi Q7 miliknya yang diparkir di hadapan kedai runcit di Jalan Sungai Puyu, Butterworth, 7.35 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Saw Ean Siew, 48, berhenti di bahu jalan untuk ke kedai runcit di situ dan sebaik mahu ke keretanya, dia ternampak seorang lelaki sedang memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek mengambil beg sandang milik mangsa yang diletakkan di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa cuba mengejar suspek, namun lelaki itu berjaya melarikan diri menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran BPL 723 ke arah Maklom.

“Suspek memakai baju-t berwarna putih dan memakai topi keledar,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian dan mendakwa kerugian lebih RM5,000.

“Antara barangan mangsa hilang ialah wang tunai RM4,000, kad kredit HSBC, lesen memandu, kad pengenalan dan barang kemas.

“Tindakan lelaki itu dirakam kamera dipasang pada jentera Pasukan Boma Sukarela (PBS) yang diletakkan di belakang kereta mangsa.

“Suspek sudah dikenalpasti dan usaha mengesan dan menangkapnya sedang dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 3:08 PM
MANGSA cuba mengejar lelaki yang memecahkan cermin penumpang hadapan keretanya sebelum melarikan beg tangannya dalam kejadian di Jalan Sungai Puyu, Butterworth, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.