EZUMI mewarisi bakat dan minat dalam seni bina daripada datuknya.
Mohd Firdaus Ibrahim
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Perjuangannya mahu mengurangkan kerenah birokrasi dalam mendapatkan permit atau kelulusan pembinaan yang bakal memberi banyak manfaat kepada arkitek di negara ini.

Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Ezumi Harzani Ismail berkata, dia dan kumpulan fokus dibawah One Stop Center (OSC) sentiasa berjuang mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Perjuangan Ezumi Harzani turut disertai 20 ahli OSC yang juga pakar dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat (IT), jurutera dan arkitek.

“Matlamat kami mahu menyingkatkan proses kelulusan dari sembilan bulan kepada 30 hari saja. Kajian dilakukan bagi mengurangkan bebanan membabitkan penyediaan kertas kerja.

“Semua ini usaha berterusan yang kami lakukan untuk manfaat kepada arkitek,” katanya di ibu pejabat PAM, di sini.

Menurutnya, jika proses kelulusan dan permit pembinaan disingkatkan pihaknya percaya arkitek tempatan lebih bebas berkarya dalam seni bina.

Bagi menjayakan usaha berkenaan, Ezumi Harzani berkata, PAM bekerjasama dengan enam pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, minat terhadap seni bina diwarisi daripada datuknya.

EZUMI berhasrat meninggalkan legasi dalam memudahkan urusan projek pembinaan.

“Saya budak kampung, apa yang ada di persekitaran jadi mainan. Datuk saya tukang, selain rumah dia hasilkan pelbagai barangan tradisional seperti congkak dan pondok menyebabkan saya berminat bidang ini.

“Ketika melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu, guru seni saya juga memberikan sokongan.

“Guru bentuk jati diri saya sebagai arkitek dan alhamdulillah, saya berjaya,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dan Sarjana Falsafah Dalam Pengajian Polisi.

Untuk rekod, Ezumi Harzani yang juga Pengarah Arkitek MAA dianugerahkan BCI Top 10 Arkitek 2014 peringkat Asia atas usaha dan kejayaannya dalam bidang berkenaan.

Ezumi Harzani berkata, dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kerajaan memainkan peranan sebagai perantara antara pemain industri (arkitek) dan kerajaan.

“Saya juga terbabit dalam pembentukan polisi berkaitan industri pembinaan termasuk pindaan kepada akta arkitek,” katanya.

Ditanya apa legasi yang mahu ditinggalkannya, Ezumi Harzani berkata, selain sifar birokrasi dalam kelulusan urusan pembinaan, dia mahu melihat arkitek tempatan bebas berkarya.

“Kurangnya birokrasi memudahkan arkitek tempatan berkarya. Kerancakan proses pembinaan menambahkan kebolehan dan keberanian arkitek tempatan menghasilkan bangunan ataupun premis cantik serta berkualiti setanding negara maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:48 AM