ANWAR ketika berucap pada majlis Makan Malam Kiambang Bertaut dan Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, banyak pihak mempersoal sejauh mana kebenaran Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau, namun terlupa dengan perjanjian ditandatangani antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Anwar berkata, PH bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau menerima agenda perubahan dan menandatangani dokumen yang mempertahankan kebebasan demokrasi dan badan kehakiman, menolak rasuah, penyelewengan serta perkauman sempit.

“Beliau (Dr Mahathir) menandatangani (perjanjian) termasuk usaha membebaskan Anwar (dari penjara) dan memberi ruang kepada Anwar balik dalam kerajaan serta mengganti beliau sebagai Perdana Menteri.

“Orang lebih banyak ceritakan soal itu (menjadi Perdana Menteri) tapi mereka lupa kita setuju kerana agenda reformasi itu dipersetujui dan masa itu kita percaya Dr Mahathir akan laksanakan janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kiambang Bertaut dan Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat di Putrajaya, malam tadi.

Anwar turut menepis cakap-cakap bahawa beliau sudah tidak relevan lagi untuk memimpin.

“Walaupun ada teman mengatakan saya kian tua dan tidak relevan kerana saya terlalu sinis serta tidak mempercayai pimpinan muda (tetapi) saya adalah pemimpin yang paling banyak memberi ruang kepada pemimpin muda tapi juga yang paling keras mengingatkan mereka, jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat dan mendokong kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa agenda reformasi tidak boleh hanya diserahkan kepada golongan elit politik saja tetapi harus membabitkan rakyat supaya dapat dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 12:34 AM