MANGSA yang dikenal pasti identiti. FOTO Ihsan Polis
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my

POLIS sedang mengesan keluarga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 11 hingga 12 tahun yang ditemui lemas di kolam dekat sebuah hotel di Kota Bharu, 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui pengunjung yang menyedari kejadian jam 5.50 petang dan membawa mayat itu ke tebing kolam.

Menurutnya, berdasarkan fizikal mangsa berkulit sawo matang, mempunyai ketinggian 127 sentimeter dan berat 29 kilogram.

“Mangsa juga berpakaian lengkap berseluar pendek dan memakai baju-T. Mayat mangsa kini berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya ketika dihubungi NSTP

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

“Pemeriksaan terhadap mangsa juga tiada tanda suntikan BCG,” katanya

Beliau berkata, orang ramai yang kehilangan anak lelaki itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Balai Polis Kota Bharu di talian 09-7485522.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 3:46 PM