ANGGOTA APM membantu mangsa.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan melompat gembira sebaik melihat bapanya pulang ke rumah di Taman Wilayah Selayang di sini, sebaliknya menyebabkan kaki mangsa tersepit di celah besi penutup longkang.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.24 malam kelmarin.

“Sebaik tiba, kami mendapati kaki kanan mangsa, Ayu Rizahana Rizalman, lima tahun, tersepit di celah besi penutup longkang berhampiran rumahnya.

“Kami mengambil masa kira-kira empat minit untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shahrul Kamar berkata, kaki kanak-kanak perempuan itu dilaporkan bengkak akibat kejadian itu.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, kaki kanak-kanak itu tersepit selepas melompat apabila melihat ayahnya pulang ke rumah.

“Mangsa dihantar ke hospital berhampiran oleh ahli keluarganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 6:00 AM