MUSTAFAR memeriksa dokumen pengenalan diri pendatang yang ditahan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Hampir semua sektor perniagaan dikesan mula dikuasai pekerja asing tanpa izin (PATI).

Ini dibuktikan dalam operasi mengejut dilakukan Jabatan Imigresen terhadap restoran, bengkel kenderaan dan kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang sejak Khamis lalu.

Melalui operasi itu seramai 34 PATI pelbagai negara berjaya diberkas dalam Op Mega 3.0.

Kebanyakan PATI ditahan adalah pendatang asing lelaki yang bekerja di premis itu selain hasil tangkapan rambang di tempat awam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Adli Abd Samad, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya memperoleh maklumat awal mengenai kehadiran PATI terbabit yang turut mendapat rungutan orang ramai.

“Lokasi pertama diserbu ialah sebuah bengkel alat ganti kenderaan di Taman City, di sini.

“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah kedai serbaneka di Putrajaya Sentral. Pemeriksaan rambang juga dilakukan di ruang dan pekarangan lokasi ini.

“Serbuan terakhir adalah di sebuah restoran makanan Cina di Jalan Muhibbah 3, Taman Muhibbah, Seri Kembangan, Selangor, Kebanyakan pekerjanya adalah warga asing dari Myanmar,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pihaknya memeriksa 82 warga asing sebelum menahan 34 PATI lelaki membabitkan dua warga Bangladesh, Myanmar (19), Nepal (lima), Vietnam (seorang), Pakistan (lima) dan Jordan (dua).

“Majoriti mereka melakukan kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki menyalahgunakan pas atau permit dengan bekerja tanpa permit sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 2:53 AM