AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ditemui media semasa hadir Majlis Perasmian Gotong-Royong Bersama Penduduk Taman Sembilang sempena World Clean Day 2018 di Taman Sembilang, Seberang Jaya. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


“SAYA sudah katakan sebelum ini bahawa hanya ingin menjadi wakil rakyat dan menyuarakan isu mereka," demikian kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengulas mengenai dakwaan nepotisme di dalam parti itu.

Nurul Izzah berkata, beliau menerima pandangan banyak pihak mengenai perkara itu dan sekali lagi menyatakan rasa syukur kerana tidak memegang jawatan dalam kerajaan.

Nurul Izzah berkata demikian bagi mengulas kenyataan aktivis Datuk S Ambiga yang memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai bahaya nepotisme susulan keputusan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

"Dalam hal ini, secara rendah diri saya fokus kepada tugasan dan mengambil pandangan daripada semua pihak.

"Syukur saya tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan kerana telah berkali-kali saya tekankan bahawa tujuan saya adalah untuk menjadi wakil rakyat dan menyuarakan isu berkaitan mereka," katanya ketika merasmikan Program Gotong Royong di Taman Sembilang di Seberang Jaya, hari ini.

Semalam, Ambiga berkata, ia tidak akan dianggap nepotisme sekiranya Anwar, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah adalah ahli parlimen, namun ia akan berlaku sekiranya mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu juga menegaskan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah tidak seharusnya mengosongkan kerusinya, sebaliknya Wan Azizah atau Nurul Izzah yang harus memberi laluan kepada Anwar.

Selain itu, Ambiga berkata, sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri seperti yang dirancang, Wan Azizah perlu meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 11:31 AM