KEJADIAN cermin kereta dipecahkan untuk mencuri beg sekolah di Jalan Mariamah, Johor Bahru. FOTO Ihsan Nor Hasyimah Md Hashim
Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


“MOHON pulangkan balik beg sekolah anak saya," demikian rayuan pemilik Facebook (FB) Nor Hasyimah Md Hashim selepas kereta Honda CR-Z Hybrid miliknya dipecah masuk dalam kejadian di Jalan Mariamah, Johor Bahru, Rabu lalu.

Kakitangan bank di Johor Bahru itu dalam laman FB berkata, tiada barangan bernilai hilang dalam kejadian itu melainkan dua beg milik anaknya.

"Kereta saya kena pecah di Jalan Mariamah Johor Bahru (JB) berhadapan Kondo Vista Height. Tiada barang berharga yang hilang cuma mohon pulangkan balik beg sekolah anak saya," katanya.

Katanya, dia meminta jasa baik mana-mana individu memulangkan semula beg sekolah anaknya itu.

"Dalam beg penuh buku-buku sekolah saja. Jika ada terjumpa beg berisi buku-buku dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS) dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim mohon letak saja di pondok 'guard' sekolah," katanya.

Dia turut reda dengan kejadian itu dan berharap semoga Allah SWT menggantikannya dengan perkara-perkara yang baik.

Terdahulu tular mengenai kejadian pecah kereta yang dikongsi wanita berkenaan di media sosial sejak Rabu lalu membabitkan kehilangan dua beg milik anaknya.

Wanita terbabit turut berkongsi empat gambar keretanya yang menunjukkan keadaan cermin belakang kereta yang dipecahkan pencuri.

Perkongsian kejadian itu mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang memberikan kata positif supaya wanita itu bersabar, selain menasihatkan orang ramai berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 2:26 PM