SULTAN Ibrahim berkenan mencemar duli melawat pameran pada majlis Sambutan ke-100 Tahun Pendidikan Agama Islam Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah supaya kerajaan negeri memantau semua pusat tahfiz swasta dan persendirian yang beroperasi di negeri itu.

Baginda bertitah, pusat tahfiz yang didapati beroperasi tanpa sijil pengiktirafan daripada kerajaan negeri perlu ditutup serta-merta.

“Akhir-akhir ini saya perhatikan, banyak pusat tahfiz swasta atau persendirian diwujudkan, kemudian mereka memohon sumbangan dan bantuan orang ramai untuk menampung kos pembangunan serta operasi.

“Saya ingatkan kepada kerajaan supaya memantau semua pusat tahfiz di Johor.

“Mereka mesti mendapatkan sijil pengiktirafan sebelum memulakan operasi dan mana-mana pusat tahfiz yang melanggar syarat, perlu diarah tutup serta-merta,” titah baginda ketika berucap merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

Sultan Ibrahim turut bertitah, kerajaan negeri juga boleh mewujudkan kelas tahfiz khas di setiap sekolah agama Johor.

“Sekiranya ada permintaan dan keperluan, kerajaan boleh mewujudkan kelas tahfiz khas di setiap sekolah agama Johor untuk pelajar yang ingin mendalami ilmu hafazan al-Quran,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 10:49 AM