ANGGOTA polis mengangkat mesin judi yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Pegawai, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


POLIS merampas pelbagai peralatan termasuk mesin judi, meja, kerusi, kamera litar tertutup (CCTV) dan kad tambah nilai dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian di 15 pusat hiburan keluarga (PHK) di Alor Setar, hari ini.

Dalam operasi bermula jam 2 petang, tiada tangkapan dilakukan namun kebanyakan premis itu pernah diserbu polis sebelum ini kerana menjalankan kegiatan sama.

Antara lokasi serbuan ialah Alor Janggus, Kepala Batas, Simpang Kuala, Jalan Putra dan Jalan Pegawai membabitkan lima pegawai dan 20 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Kebanyakan premis terbabit mempunyai lesen PHK yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar, namun dipercayai disalahgunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi diketuai Pegawai Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Inspektor Darlveen Singh selepas menerima maklumat masih wujud aktiviti perjudian di premis itu walaupun beberapa kali diserbu sebelum ini.

Katanya, berikutan itu, pihaknya mendapatkan 15 waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar untuk merampas barangan di semua premis yang dikenal pasti, hari ini.

“Minggu lalu, kita mendapat waran geledah di 12 premis di daerah ini yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian yang menjadikan keseluruhan berjumlah 27 premis dalam tempoh dua minggu termasuk hari ini.

“Kita rampas barangan untuk siasatan mengikut Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

DARLVEEN Singh menunjukkan kad tambah nilai judi yang disita dalam serbuan di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam

Katanya, pihaknya yang turut memotong bekalan elektrik di premis terbabit mengharapkan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat untuk membantu membanteras kegiatan perjudian di daerah ini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash berkata, statistik serbuan Ops Dadu, Ops Noda dan Ops Cantas D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bermula 1 Januari hingga semalam menunjukkan jumlah tertinggi rampasan mesin judi adalah di Kota Setar iaitu 328 buah diikuti Kuala Muda (172) dan Kubang Pasu (32) buah.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan mesin di 11 daerah adalah sebanyak 582 buah selain rampasan wang berjumlah RM365,512 dan tangkapan seramai 1,541 orang.

"Selain itu, seramai 551 orang ditahan dalam 215 serbuan Ops Noda bagi tempoh sama di mana paling ramai adalah di daerah Kuala Muda iaitu 190 orang, diikuti Langkawi (150), Kota Setar (108), Kulim (75), Pendang (23) manakala Kubang Pasu dan Baling pula masing-masing satu.

“Bagi Ops Cantas pula, seramai 626 orang ditangkap dalam 599 serbuan yang dilakukan dan Kuala Muda menunjukkan tangkapan paling ramai iaitu 191 orang, diikuti Kota Setar (175), Kulim (117), Kubang Pasu (48), Baling (31), Langkawi (24), Pendang (13), Yan (11), Bandar Baharu (7), Sik (6) dan Padang Terap (3)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 6:43 PM