ZUNDIN (tengah) menunjukkan barang yang dirampas. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


MEMPERKENALKAN diri sebagai pegawai dan anggota Jabatan Imigresen sebelum menyamun warga asing.

Itu modus operandi digunakan sekumpulan tujuh lelaki apabila mensasarkan rumah kongsi warga asing sebelum melakukan samun membabitkan kerugian lebih RM20,000, sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun kumpulan dikenali ‘Geng Jai’ itu akhirnya tumpas selepas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menahan semua lelaki itu di sekitar daerah Temerloh dalam tempoh sembilan hari.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, semua suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu ditahan antara 4 September lalu hingga semalam selepas pihaknya menjalankan risikan sejak bulan lalu.

“Siasatan mendapati mereka dipercayai terbabit dalam jenayah samun sejak Julai lalu dengan mensasarkan rumah kongsi warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan dan di kawasan kebun sayur.

“Mereka menggunakan taktik dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dan anggota Jabatan Imigresen kononnya untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menggeledah dan menyamun barang seperti telefon bimbit, pasport, kad bank dan wang tunai,” katanya pada sidang media di IPD Temerloh, hari ini.

Katanya, kumpulan suspek itu turut menggunakan senjata seperti parang, pisau dan rotan bertujuan mengugut dan menakutkan mangsa.

Zundin berkata, pihaknya turut merampas kereta Perodua Viva dan Kelisa, motosikal Modenas Kriss, 20 telefon bimbit pelbagai jenama, empat jam tangan berjenama, lima beg berjenama, gelang tangan emas, tiga rotan, dua tukul besi serta enam kad bank.

Beliau berkata, empat daripada tujuh suspek ditahan turut mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

“Semua suspek direman hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 3:53 PM