KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Datuk Seri Jamil Salleh (dua kiri) bersama Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tiga kiri) , Pengerah Urusan AEON Co (M), Shinobu Washizawa (empat kiri) dan Pengarah Eksekutif AEON , Poh Ying Loo (kiri) memberi barangan keperluan kepada Penduduk Perumahan Rakyat PPR Taman Belimbing selepas Majlis Pelancaran "AEON Community Food Share" di AEON Mall , Cheras Selatan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my


BAHAN makanan dikumpul dan diedarkan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi sumbangan pasar raya besar dalam Program Food Bank Malaysia adalah selamat dimakan dan bukan sisa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh menegaskan, pelbagai bahan makanan dikumpul itu sebenarnya lebihan yang tidak terjual dan masih boleh digunakan.

"Bahan makanan yang terdapat ini bukan sisa, tetapi terlebih dan jangka hayatnya masih boleh digunakan.

"Jangan risau, ini program untuk kebaikan bersama dan saya yakin kebanyakan lebihan makanan ini masih selamat digunakan," katanya pada sidang di AEON Cheras Selatan, dekat Balakong, malam tadi.

Beliau mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi merasmikan Program AEON Community Food Share dan Food Bank Malaysia di pasar raya itu.

Yang turut hadir, Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku penaung Kechara Soup Kitchen; Pengarah Urusan Aeon Co. (M) Berhad, Shinobu Washizawa dan Pengarah Projek Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah.

Jamil berkata, inisiatif itu adalah kaedah paling efektif untuk mengedarkan lebihan bahan makanan yang tidak terjual kepada golongan kurang bernasib baik sekali gus mengatasi pembaziran.

Menurutnya, beliau yakin program Food Bank dijalankan itu mampu dijayakan melalui kerjasama strategik pelbagai pasar raya besar yang mempunyai lebihan makanan yang banyak.

"Saya berharap lebih banyak pasar raya besar di negara ini menyertai program pengumpulan dan pengagihan makanan bagi memastikan hasrat murni kerajaan tercapai dan memanfaatkan lebih ramai keluarga memerlukan.

"Inisiatif ini bukan hanya dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal malah, memenuhi keperluan isi rumah kurang berkemampuan pada masa sama," katanya.

Mengulas lanjut program itu, katanya kementerian sedang merancang 'trial run' program Food Bank Malaysia bersama pasar raya utama seluruh negara dan AEON Community Food Share diadakan itu adalah perintis sebelum diperluas ke semua negeri pada Januari depan.

Katanya, program itu juga selari dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah Sasaran 12.3, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan keseluruhan menjelang 2030.

"Bagi melaksanakan program ini, kementerian mengenalpasti Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation sebagai rakan strategik dalam melaksanakan pengumpulan dan pengedaran makanan kepada golongan memerlukan," katanya.

Beliau kemudian bersama tetamu kenamaan 'turun padang' mengagihkan makanan berupa sayur-sayuran, buah-buahan dan roti kepada 25 keluarga di pekarangan Surau An Najah, Flat ABC, Pesiaran Taming Satu, Taman Taming Jaya, dekat sini.

Warga emas, Chong Sew Sen, 68, dan isteri, Yap Loke Mooi, 62, berkata, mereka amat berterima kasih kerana terpilih menerima bantuan makanan disalurkan oleh Aeon itu kerana membantunya berjimat untuk membeli keperluan dapur.

"Saya memang suka makan sayur-sayuran segar dan barangan makanan yang diterima ini boleh tahan tiga hari untuk saya dan isteri serta seorang anak," katanya ditemui pada program itu.

Pengerusi Surau Annajah, Mohd Zahuri Derahman berkata, program perkongsian bahan makanan itu tepat pada masanya bagi meringankan beban peningkatan kos sara hidup penghuni kalangan golongan B40 di situ termasuk ibu tunggal dan anak yatim.

"Berdasarkan bancian lalu, ada 130 hingga 140 keluarga tinggal di tiga blok flat ini, kebanyakannya menyewa dengan kadar RM400 sebulan.

"Bagi saya program ini memang baik dan dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan di sini untuk membeli keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:33 AM