ROCHE (tengah) bersama wakil syarikat yang terbabit program 'My Rumah' di Mahkota Parade, Banda Hilir.
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my

Melaka: Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang akan diadakan buat julung kali di negeri ini bakal menarik kira-kira 15,000 pengunjung.

Pameran siri keempat itu bakal bermula pada 21 hingga 23 September ini bertempat di Mahkota Parade di sini.

Ia bakal menghimpunkan pelbagai pemaju hartanah utama wilayah selatan, syarikat perbankan dan insurans termasuk dari Johor.

Pengurus Besar Pengiklanan Agensi/Rencana Khas NSTP Roche Chew berkata, pameran itu mensasar pengunjung daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Menurutnya, pameran itu menawarkan pelbagai jenis kediaman pada harga antara RM200,000 hingga RM700,000.

“Penawaran harga ini bergantung kepada negeri yang kita jelajah dari aspek lokasi dan dengan harga hartanah yang ditawarkan.

“Justeru, kami menggalakkan orang ramai membawa keluarga dan rakan berkunjung ke pameran ini kerana ia turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah dan pertandingan mewarna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran MyRumah 2018 di Melaka di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Pengiklanan dan Jualan NSTP Wilayah, S Linggaraj.

Chew berkata, pameran itu turut menampilkan sembilan pempamer antaranya syarikat pemaju Bukit Pelali Sdn Bhd, Handal Group, SPNB Aspirasi, Potensi Lestari dan Teladan Setia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:03 AM