LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai wanita maut manakala tiga cucunya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta yang terbabas di Kilometer 2.5 Jalan Dungun-Durian Mentangau, hari ini.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“SAYA mahu pemandu kereta itu dihukum berat seperti mana beratnya saya kehilangan isteri,” kata Abdul Latif Awang Kecik, 58, selepas isterinya maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Dungun-Durian Mentangau, hari ini.

Dalam kemalangan 5.15 petang itu, Sarifaf Ali, 58, maut di tempat kejadian manakala cucunya, Muhammad Dinie Khalish Mohd Shamrizal, 7, dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Dua lagi cucunya, Awang Kucik Zarkoni Mohd Shamrizal, 9, dan Fatin Hanani Mohd Shamrizal, 11, cedera parah.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Dungun ke Durian Mentangau terbabas selepas melalui satu selekoh.

Kereta terbabit dikatakan berpusing dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh motosikal ditungganginya nenek dan tiga cucunya itu.

Abdul Latif berkata, ketika kejadian, isterinya itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil tiga cucunya itu yang belajar kelas Fardu Ain di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau.

“Menantu kami dalam pantang selepas melahirkan anak keenam, jadi menjadi tugas isteri mengambil dan menghantar tiga cucu kami itu.

“Setiap hari saya ke kebun dan biasanya dia akan hantar nasi kepada saya, tetapi hari ini saya pelik apabila dia tidak berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada anaknya, Mohd Shamrizal pada 5.30 petang yang memaklumkan kemalangan itu.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, dia mendapati isterinya sudah meninggal dunia manakala tiga cucu yang dilaporkan parah dikejarkan ke hospital.

“Kejadian ini sangat menyedihkan, namun saya reda dengan takdir Ilahi.

“Seorang cucu saya kini kritikal dan bertarung nyawa manakala dua lagi parah, jadi saya berharap agar pemandu kereta itu menerima hukuman berat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

'Bakti akhir nenek buat 3 cucu'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:42 PM