Maszlee selepas pertemuan bersama aktivis pelajar. FOTO Asyraf Hamzah
Nadia Hamid dan R Manirajan
cnews@nstp.com.my

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik enggan melayan desakan Gabungan Pembebasan Akademik IPT untuk berundur dalam masa tujuh hari sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, ia susulan keputusan lantikan dibuat oleh pihak berkepentingan termasuk Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Lembaga Pengarah UIAM.

“Itu (lantikan)... bukan keputusan saya. Saya dilantik pengurusan UIAM (atas dasar) mereka sedia untuk berubah (mengembalikan kegemilangan). Adakah selepas mereka membuat keputusan saya kecewakan mereka?

“Perlu perbincangan dengan pihak berkepentingan, saya perlu dapatkan pandangan dan pendapat UIAM,” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan lebih 20 siswa Gabungan Pembebasan Akademik IPT.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berjumpa Dr Mahathir, Maszlee berkata pertemuan berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat ketika mesyuarat Kabinet.

Ketika ditanya adakah pelantikan beliau melanggar undang-undang dan autonomi universiti awam (UA), Maszlee menegaskan UIAM adalah universiti tunggal tidak mengamalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Katanya, pentadbiran dan pengurusan universiti Islam yang pernah tersohor dalam kalangan negara Islam dalam melaksanakan kebebasan akademik.

“UIAM satu-satunya universiti yang tidak mengamalkan AUKU tetapi ada undang-undang yang mengekang kebebasan pelajar.

“Kalau saya lantik diri saya sebagai Pengerusi universiti awam lain, Pengerusi Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) itu melanggar autonomi universiti,” katanya.

Maszlee mendakwa pelantikan beliau adalah untuk mengembalikan prestasi dan kegemilangan UIAM yang semakin menurun beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berhasrat supaya UIAM menjadi Oxford negara Islam. Saya sudah bertemu reaktor UIAM dan berbincang perkara ini,” katanya.

Pada 9 September lalu, sekumpulan pelajar serta aktivis yang menggelar diri mereka Gabungan Pembebasan Akademik IPT itu bertindak mengadakan bantahan berhubung isu itu di pejabat Menteri Pendidikan, di Putrajaya .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:07 PM