DUA lelaki mengugut dengan parang dan menyamun beg tangan dan barang kemas milik pensyarah wanita di kedai dobi 24 jam di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pagi semalam. FOTO ihsan pembaca.
Omar Osman
cnews@nstp.com.my


DALAM tempoh 15 minit, dua lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai dobi 24 jam dan kedai runcit di Sungai Petani menyebabkan kerugian dianggarkan RM14,500, semalam.

Dalam kejadian pertama pada 7 pagi, suspek menyamun seorang pensyarah wanita berusia 37 tahun ketika sedang bersendirian menunggu pakaian dibasuhnya di kedai dobi 24 jam di Bandar Puteri Jaya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superitendan Sazalee Adam berkata, ketika kejadian itu, seorang lelaki masuk ke dalam premis dan berpura-pura bertanya mengenai baju dibasuhnya yang kononnya hilang.

Menurutnya, bagaimanapun tiba-tiba lelaki terbabit menghampiri mangsa sebelum cuba merampas beg tangannya menyebabkan wanita terbabit terkejut dan dia menarik semula beg tangan itu.

“Suspek kemudian mengacu sebilah parang ke arah mangsa menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan beg tangan sebelum seorang lagi lelaki masuk dan merentap rantai emas di leher, gelang tangan, dua cincin serta telefon bimbit selain turut mengambil kunci kereta Proton Persona wanita terbabit.

“Mereka kemudian melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara Aeroback kelabu yang menunggu di depan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani selepas kerugian RM10,000.

Wajah kedua-dua suspek mula tular di media sosial selepas kejadian berkenaan dirakam CCTV di kedai dobi terbabit.

Sazalee berkata, kejadian kedua berlaku 15 minit kemudian di kedai runcit 24 jam di Taman Ria apabila suspek sama masuk ke dalam premis itu dan berpura-pura ingin membeli kad pra bayar telefon.

“Pekerja lelaki berusia 19 tahun kemudian mahu mengambil kad pra bayar itu sebelum seorang lagi suspek masuk terus ke kaunter pembayaran dan mengacu pisau panjang ke leher mangsa serta memaksanya membuka laci wang.

“Mereka merampas wang tunai dan beg, namun mangsa sempat menekan butang siren kecemasan di bawah laci menyebabkan suspek panik dan terus berlari keluar masuk ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek merampas wang tunai RM1,500, tiga telefon bimbit dan beg silang mangsa yang mengandungi dua telefon bimbit membabitkan kerugian RM4,500.

Menurutnya, siasatan dan rakaman CCTV mendapati suspek adalah orang sama dan usaha memburu mereka sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 7:23 PM