SULTAN Muhammad V berkenan memeriksa perbarisan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1, Putrajaya, hari ini.

Sebaik berangkat tiba 10.55 pagi, nyanyian lagu Negaraku dimulakan sambil diiringi 21 Das Tembakan Meriam Kehormat yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Mohd Asri Che Wil dan Terbang Lintas oleh lima helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Helikopter berkenaan membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia diketuai Mejar Narul Nizam Ismail.

Istiadat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong yang mewakili Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Seterusnya, Sultan Muhammad V melakukan pemeriksaan perbarisan diikuti pembukaan medan oleh pancaragam dan kemudian, Pengiring Panji-Panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong disusuli lagu Negaraku (naskhah ringkas) dan berlangsung Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Pentingnya Panji-Panji adalah mengekalkan semangat, moral dan identiti sesuatu perkhidmatan dan pasukan manakala penganugerahan Panji-Panji itu sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.

Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah satu upacara istiadat gilang-gemilang di mana Panji-Panji itu satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bahagi oleh ATM kepada raja dan negara.

Turut berlangsung, perbarisan berjalan laju dalam tempoh perlahan dan cepat, perbarisan mara mengadap serta laungan 'Daulat Tuanku.'

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku, bersekali lintas helikopter ATM sebelum Sultan Muhammad V kemudian berangkat meninggalkan majlis pada 11.49 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 1:09 PM