GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my

AKIBAT mudah percaya dengan ‘Inspektor Tan’, seorang pembantu operasi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pekan kerugian RM49,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, mangsa lelaki berusia 62 tahun itu dihubungi seorang wanita bernama Kartina Almirol yang mendakwa dari Public Bank Kuala Lumpur.

“Wanita berkenaan mendakwa mangsa ada membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000 dari Public Bank di Seremban dengan bayaran bulanan RM1,290 selama 60 bulan serta mempunyai tunggakan RM3,885.

“Mangsa menafikan dia mempunyai pinjaman di bank berkenaan sebelum wanita itu meminta dia membuat laporan di Balai Polis Seremban dalam tempoh dua jam jika tidak mahu disenarai hitamkan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.


Mohd Wazir

Mohd Wazir berkata, memandangkan masa yang diberikan terlalu singkat, wanita itu menyambungkan panggilan berkenaan ke Balai Polis Seremban untuk membuat laporan sebelum dijawab oleh ‘Sarjan Lau’.

“Dalam perbualan itu, suspek kedua ini mendakwa mangsa bersubahat dengan seorang pengurus bank di Kuantan bernama Reymond Lee dalam kegiatan pengubahan wang haram dan aktiviti penyeludupan dadah serta waran tangkap juga sudah dikeluarkan terhadapnya.

“Kemudian panggilan telefon itu disambungkan kepada ‘Inspektor Tan’. Dalam perbualan itu, mangsa diberi arahan supaya tidak memberitahu sesiapa mengenali perkara ini serta dikehendaki melapor segala pergerakan setiap dua jam kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, pada 3 September lalu, mangsa dihubungi sekali lagi oleh ‘Inspektor Tan’ dan memintanya untuk memindahkan wang ke dalam dua akaun yang didakwa milik mahkamah untuk tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak RM49,000 ke dalam dua akaun yang diberikan oleh ‘Inspektor Tan’. Bagaimanapun selepas memasukkan wang itu, mangsa gagal menghubungi ‘Inspektor Tan’.

“Dia yang menyedari ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk membuat laporan polis, semalam. Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank dan polis sehingga mendorong pengadu memasukkan wang tunai ke dalam akaun yang diberi,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:10 PM