MOHD Halin (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PENGAWAL keselamatan yang juga suspek kes bunuh rakan sekerjanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Tertuduh, Mohd Halin Jabar, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mohd Halin didakwa memiliki pistol semi auto nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd, Lot 120 Taman Farmaseutikal di Seri Iskandar, 7.55 malam, 31 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan dibenarkan dan Murtazadi menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, tertuduh sama akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit, hari ini untuk didakwa atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

NSTP sebelum ini melaporkan, suspek ditahan polis di Telok Bakong, Lambor Kanan, Bota pada 2 September lalu selepas dipercayai menembak mati rakan sekerjanya di Taman Farmasi, Seri Iskandar dua hari sebelum itu.

Mangsa yang juga Orang Asli, Masri Pandak, 37, ditemui dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai.

Polis turut merampas pistol jenis Walther PPK, satu kelopak peluru mengandungi 49 peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.

Polis turut merampas pistol tiruan berwarna kelabu jenama Pietro Baretta Garoone VT buatan Itali; satu kelopak peluru kosong; sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar masing-masing berisi 100 bebola besi dalam serbuan sehari sebelum suspek ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:04 PM