ZAWAWI (kanan) bersama kakitangan Jabatan Perikanan negeri Terengganu menunjukkan anak penyu lipas yang menetas selepas 14 tahun penyu terbabit tidak naik bertelur di negeri ini. Gambar kecil, anak penyu lipas yang baru menetas dari telur. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SELEPAS 14 tahun ‘merajuk’, seekor penyu lipas atau nama saintifik Lepidochelys Olivacea akhirnya naik bertelur dan menetaskan 12 anak penyu, kelmarin.

Penyu seberat 50 kilogram itu naik bertelur di Pantai Kuala Paka, Dungun, pada 11 malam 7 Julai lalu dengan menghasilkan 102 biji telur.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali, berkata telur terbabit dibawa dan dieramkan di Pusat Santuari Penyu Ma Daerah di Kerteh, Kemaman.

Katanya, selama dua bulan dieramkan di pusat terbabit, hanya 12 ekor berjaya menetas manakala baki telur lain dikhuatiri sudah rosak.

“Sebahagian anak penyu itu dilepaskan ke laut, manakala selebihnya kita bela sehingga besar di Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang.

“Penyu lipas terbabit semakin kurang mendarat berbanding penyu belimbing yang kali terakhir mendarat pada 2011.

“Kali terakhir tiga ekor penyu lipas ini naik mendarat di Pantai Kemasik, Kemaman pada 2004 dengan menghasilkan 330 biji telur.

“Rekod paling baik pada 1995 dengan 26 kali naik bertelur dan menghasilkan 2,705 telur serta berjaya menetaskan 2,023 anak penyu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan prestasi kenaikan penyu lipas terbabit yang semakin hari semakin merosot.

Katanya, pihaknya berharap anak penyu lipas dilepaskan itu akan kembali naik bertelur semula di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Zawawi berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 3,889 pendaratan penyu direkodkan dengan menghasilkan 337,747 telur dan menetaskan 272,818 anak penyu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, 50 penyu dilaporkan mati di seluruh negeri dan Mac serta Mei lalu, masing-masing mencatat 12 kes kematian.

“Pada Januari lalu, sebanyak tiga kematian penyu dicatatkan, Februari (4), April (9), Jun (1), Julai (5) dan Ogos (4).

“Kami turut berjaya menyelamatkan lapan penyu cedera dan dilepaskan semula ke laut.

“Kami minta orang ramai atau nelayan yang menemui penyu sakit atau cedera tersangkut pada jaring supaya segera menghubungi kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 8:56 PM