RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my

HANYA dapat beg plastik. Itu habuan diperoleh dua lelaki selepas guru wanita yang cuba diragut sempat membaling beg galasnya ke rumah jiran di Taman Budiman, Bukit Mertajam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan pulang ke rumah sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

“Suspek datang dari arah depan dan pembonceng motosikal terbabit secara tiba-tiba meluru turun dan terus menumbuk dahi kiri mangsa hingga dia terjatuh.

“Suspek kemudian menarik beg galas mangsa menyebabkan dia terseret di atas jalan dan wanita berkenaan sempat menjerit meminta tolong,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, jeritan itu membuatkan suspek panik dan melarikan diri.

Beliau berkata, mangsa kemudian bertindak membaling beg galasnya ke rumah jiran.

“Suspek yang tidak berpuas hati berpatah balik, namun hanya sempat melarikan beg plastik yang dibawa mangsa.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian namun dia cedera di belakang badan, dahi dan kaki akibat kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu polis kini sedang memburu dua suspek terbabit yang menaiki motosikal Honda Wave berwarna biru.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian kes ragut itu turut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 7:55 PM