LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai Keri Pok Jeng terbunuh selepas ditembak polis di Felda Neram Satu dekat Chukai, Kemaman.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


POLIS akan membuka semula kertas siasatan beberapa kes dikaitkan dengan penjenayah paling dikehendaki, Keri Pok Jeng termasuk kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah pada 2015, sekiranya menemui petunjuk terbaharu.

Keri atau nama sebenarnya, Syukri Mohamad Abiah, 37, yang terbabit dalam pelbagai jenayah ditembak mati di Felda Neram Satu, dekat Chukai, Kemaman, dalam aksi berbalas tembakan pada 4.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid, berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada Keri adalah pembunuhan upahan atau sebaliknya, kerana hanya suspek yang tahu kejadian sebenar iaitu sama ada dia melakukan jenayah itu atas arahan tertentu atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, berdasarkan bukti dan siasatan diperoleh seperti modus operandi dan bentuk fizikal daripada saksi, suspek dipercayai terbabit dalam beberapa siri pembunuhan termasuk yang berlaku di Terengganu iaitu kes culik dan bunuh di Sungai Cerul di Kemaman pada 2007 serta kes tembak mati di Wakaf Tapai dan Bukit Payung, Marang masing-masing pada 2012 dan 2015.

“Sekiranya suspek diupah, tentunya ada pihak lain bertanggungjawab dan jika kita memperoleh petunjuk baharu mengenai dalang di sebalik semua kejadian ini, kes ini akan diteruskan.

“Buat masa ini, kes membabitkan suspek termasuk kes bunuh dianggap selesai, namun jika kita dapat petunjuk baharu, siasatan akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Terengganu, hari ini.

Media semalam melaporkan, Keri akhirnya ditembak mati di Felda Neram Satu, dekat Chukai.

Keri yang bersembunyi di dalam rumah yang sedang dalam pembinaan itu ditemui mati selepas dua biji peluru mengenai kepala dan dadanya.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah penjenayah paling dikehendaki polis Terengganu, Kelantan dan Pahang kerana melakukan lebih 12 kes jenayah termasuk kes bunuh, jenayah kekerasan, culik, samun dan mendatangkan cedera.

Sebelum ini, Alias ditemui mati akibat ditembak dari jarak dekat oleh individu yang mengetuk pintu rumahnya di Kampung Alor Limbat, Marang, selepas pulang daripada mengerjakan solat Jumaat pada 9 Oktober 2015.

Sementara itu, peniaga roti canai, Mat Keya Jusoh, 54, mati ditembak seorang lelaki tidak dikenali ketika bermain dam di kedai makannya di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Marang pada 26 Ogos 2012.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Keri Pok Jeng tersungkur'

'Pembunuh upahan ditembak mati'

'Bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah ditembak mati'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 5:23 PM