RAKAN kumpulan Kongsi Rezeki bergotong-royong membaiki rumah empat keluarga daif di Kampung Limbong, Paka, Terengganu.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Niat mahu berkongsi rezeki dengan cara tersendiri mencetuskan idea buat Eksekutif Komunikasi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) ini menggerakkan aktiviti dinamakan Kongsi Rezeki untuk menggalakkan orang ramai membuat kebajikan.

Bagi Mohd Nur Rizqy Mohd Supian, 34, semua orang boleh menyumbang dan berbakti kepada komuniti yang memerlukan namun kekangan yang sering dihadapi apabila penyumbang tidak tahu ke mana hendak disalurkan bantuan itu.

“Berdasarkan pengalaman saya terbabit secara langsung dalam program tanggungjawab sosial korporat di PETRONAS, saya menerima banyak maklumat mengenai kerumitan orang yang hendak menyumbang seperti tidak tahu bagaimana.

“Jadi saya mewujudkan satu platform gerakan dinamakan Kongsi Rezeki di Facebook sejak 2015 untuk memudahkan orang ramai menyantuni golongan memerlukan,” katanya.


RIZQY agih bantuan beras kepada penduduk di Kampung Melayu Subang.

Menurutnya, melalui aktiviti Kongsi Rezeki, mereka bergerak secara sendirian mengikut kelapangan masa tanpa terikat dengan jadual pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya mulakan dengan aktiviti berskala kecil sambil mengajak rakan dan ahli keluarga sebelum aktiviti itu diteruskan mereka mengikut masa lapang masing-masing.

“Saya hendak pecahkan kebuntuan orang ramai bahawa berkongsi rezeki itu sedikit pun tidak apa dan ia tidak memerlukan modal besar atau kena tubuhkan NGO, tetapi cukup sekadar mengikut kelapangan dan kemampuan masing-masing dulu.

“Alhamdulillah, bermula dengan diri sendiri, rakan dan ahli keluarga, kini gerakan ini diikuti 500 individu yang melaksanakan konsep sama di seluruh negara,” katanya.


RAKAN kumpulan Kongsi Rezeki menghulurkan bantuan di Rumah Bakti Nur ‘Ain, Bangi.

Menurutnya, fokus sumbangan membabitkan barangan keperluan yang mudah didapati seperti barangan dapur serta lampin pakai buang bayi.

“Antara golongan sasar Kongsi Rezeki ialah rumah perlindungan kanak-kanak, orang tua atau sesiapa saja yang memerlukan bantuan seperti yang dicadangkan kenalan dan ahli keluarga.

“Biasanya kita akan salurkan bantuan mengikut keperluan penerima. Ada juga sesetengah kes yang memerlukan kita bergotong-royong membersihkan dan membaiki rumah uzur,” katanya.


RAKAN kumpulan Kongsi Rezeki membersihkan rumah warga emas yang buta dan tinggal sebatang kara di Kampung Semayor, Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:13 AM