KEADAAN ban yang terhakis. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin
cnews@nstp.com.my

BAN laut di Tebuk Mendeling, di Sabak Bernam, didapati mengalami hakisan kira-kira 20 meter (m) ketika air laut pasang berikutan fenomena air pasang besar, semalam.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan penduduk setempat yang risau ban berkenaan akan runtuh ketika air pasang pagi ini.

Penduduk, Mohd Asyraf Mohamed Noh, 33, yang ditemui di lokasi kejadian melahirkan kebimbangan terhadap keadaan ban itu.

Katanya, dia risau ia akan runtuh sepenuhnya ketika air pasang pagi ini kerana dijangka paras air pasang pada sebelah pagi lebih tinggi daripada paras air pasang petang, semalam.

“Dilihat daripada jadual air pasang surut di Jeti Bagan Datok, pagi esok paras air pasang setinggi 3.2 m berbanding paras air pasang pada petang tadi iaitu hanya 3 m,” katanya.

Beliau berkata, jika ban itu pecah, sudah tentu air laut akan melimpah masuk ke kawasan kampung dan risiko banjir akan meningkat jika berlaku cuaca buruk.

Menurut Mohd Asyraf, kejadian ban runtuh bukan isu baharu kerana saban tahun masyarakat sekitar kampung ini hidup dalam kebimbangan.

“Jika ban tidak diselenggara dengan betul dan kemudian pecah menyebabkan banjir yang bukan sahaja membabitkan kerosakan harta benda.

“Malah, pendapatan masyarakat kampung yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian akan turut hilang.

"Justeru, diharap pihak berkaitan dapat mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Sebelum ini, ban di Tebuk Mendeling pernah runtuh sepanjang 80 meter, termasuk ketika fenomena air pasang besar pada November 2017.

Bagaimanapun, ban itu dibaiki sebelum didapati terhakis semula dalam kejadian petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:10 AM