ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap di Kampung Sungai Ayam, Batu Pahat, Johor. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


PASUKAN Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap ular sawa lebih 80 kilogram (kg) sepanjang enam meter di Kampung Sungai Ayam, Senggarang, dekat Batu Pahat yang dilanda banjir.

Dalam kejadian 1.30 pagi Sabtu itu, kehadiran ular sawa berkenaan disedari penghuni rumah selepas mendengar ayam di dalam reban belakang rumahnya tiba-tiba bising.

Pegawai APM Daerah Batu Pahat, Kapten Mohd Faizie Abd Aziz berkata, sebaik dimaklumkan penduduk berkenaan, sepasukan tiga anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Penduduk itu terkejut apabila membuka pintu belakang rumahnya, dia ternampak ular sebesar paha lelaki dewasa di dalam air banjir sedang menghampiri reban ayamnya sebelum menghubungi APM.

“Ketika APM tiba, kawasan kampung itu dilanda banjir dengan paras air berada hampir betis.

“Anggota APM dibantu tiga penduduk kampung berhadapan kesulitan untuk menangkap reptilia itu yang bertindak agresif apatah lagi dalam keadaan banjir.

“Namun 40 minit kemudian ular sawa berkenaan selain seekor anak ular berjaya ditangkap dan dibawa ke Pejabat APM Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya ketika ditemui di Batu Pahat, hari ini.

Mohd Faizie menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kanak-kanak tidak bermain air banjir berikutan ular sawa lebih agresif dan laju pergerakannya ketika banjir.

“Kita bimbang ada lagi ular sawa lain berkeliaran dan diharap penduduk terjejas banjir sentiasa berjaga-jaga dengan persekitaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 6:18 PM