Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


REMAJA lelaki naik hantu apabila tiba-tiba mengamuk dan mengacukan pisau ke arah neneknya di Seberang Takir, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa berusia 64 tahun sedang berehat di rumah sebelum didatangi suspek berusia 15 tahun yang berada dalam keadaan marah.

Sumber berkata, suspek yang bersenjatakan pisau itu tidak semena-mena mengamuk sambil mengacukan senjata itu ke arah mangsa tanpa sempat nenek malang itu bertanya mengapa cucunya bertindak sedemikian.

Katanya, suspek yang bagaikan dirasuk terus bertindak agresif apabila berterusan mengugut mangsa tanpa menghiraukan tangisan neneknya yang ketakutan.

"Bimbang kejadian lebih buruk, mangsa nekad melarikan diri ke balai polis berhampiran bagi mendapatkan bantuan dan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

"Pada masa sama, suspek yang terkejut melihat neneknya melarikan diri turut beredar meninggalkan rumah kerana bimbang dicekup," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 4:45 PM