FOTO HIASAN
Suzalina Halid dan Yuzfazrina Amira Yuzri
cnews@nstp.com.my

BEG plastik beras antara dua barangan terbaharu yang dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Selain beg itu, bangunan yang tidak mempunyai hak milik strata turut dikecualikan daripada SST.

“Sebelum ini, beras memang dikecualikan daripada SST, namun terdapat permintaan daripada pengilang melalui taklimat ini untuk mengecualikan juga bekas plastik yang digunakan untuk membungkus beras dan kita lakukan demi mengurangkan kos mereka.

“Selain itu, bangunan yang tidak mempunyai hak milik strata juga, kita kecualikan daripada bayaran SST berbanding sebelum ini yang mana hanya bangunan mempunyai hak milik strata mendapat pengecualian.

“Kerajaan rasa tak patut bangunan tidak berstrata terpaksa membayar lebih," katanya pada sidang media, di Alor Setar.

Guan Eng berkata, SST bagi minuman berperisa koko yang sebelum ini 10 peratus turut dikurangkan kepada lima peratus.

Selain itu katanya, harga bagi sesetengah kereta import menurun selepas pelaksanaan SST berikutan ia mengguna pakai model pemasangan tempatan (CKD).

“Kita membuat pengecualian terhadap kereta import kalau ia membabitkan barangan bahan tempatan dan dipasang di sini sebab itu harganya lebih rendah dari GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

“Lagi tinggi bahan tempatan yang digunakan bagi pemasangan kereta import, lagi banyak harga yang boleh diturunkan,” katanya.

Guan Eng berkata, dalam tempoh dua minggu taklimat SST yang diadakan di seluruh negara, beberapa penambahbaikan diperkenalkan.

Katanya, kerajaan terpaksa melaksanakan SST dengan kadar segera bagi mengelakkan negara menghadapi defisit pengurusan yang boleh menjurus kepada kesan buruk.

‘Ia termasuk pengurangan cukai sebanyak lima peratus terhadap kosmetik serta mengecualikan SST terhadap makanan laut dan rawatan di hospital swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 7:38 PM