SULTAN Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di SK Sungai Suloh, Batu Pahat. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@nstp.com.my


SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, Batu Pahat, hari ini.

Menurut kenyataan dipetik daripada laman Facebook milik baginda, hujan lebat sejak pagi tadi tidak mematahkan semangat Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan khabar serta meninjau persekitaran PPS itu.

“Mereka yang berada di pusat pemindahan sementara itu bagaikan tidak percaya melihat keberangkatan Baginda dan turut tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Sultan Ibrahim.

“Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenan melawat tempat penyediaan makanan di pusat pemindahan itu dan Baginda juga bertanyakan menu makanan yang disediakan kepada mangsa banjir,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pusat pemindahan itu dibuka Jumaat lalu selepas dua kawasan penempatan iaitu Kampung Sungai Suloh dan Kampung Sungai Ayam di daerah Batu Pahat dilanda banjir kilat.

“Ketika ini 106 mangsa banjir membabitkan 43 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 2:08 PM