Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


PAKATAN Harapan (PH) menyifatkan kemenangannya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong cemerlang susulan peningkatan undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pencapaian itu adalah satu kemenangan luar biasa kerana PH memperoleh undi sebanyak 85 peratus berbanding 77 peratus pada PRU14 lalu.

Beliau berkata, ini kerana pada PRU14 lalu, PH bertembung tiga penjuru antara PAS dan Barisan Nasional (BN) berbanding PRK kali ini hanya satu lawan satu.

Katanya, peningkatan 77 peratus kepada 85 peratus menandakan sokongan padu pengundi Balakong terhadap PH.

“Kita percaya bahawa rakyat mengenang jasa perkhidmatan yang diberikan mendiang Eddie Ng sekali gus mereka mengiktiraf perkhidmatan cemerlang ini.

“Kami percaya kemenangan ini bukti pengundi Balakong beri sokongan penuh bukan sahaja kepada kepemimpinan Kerajaan Selangor, malah Kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Balakong di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, hari ini.

Mengulas lanjut kemenangan PH, Guan Eng berkata, ia adalah bukti rakyat Malaysia terutama Balakong mahu bersatu padu di bawah PH merangkumi semua bangsa dan agama.

Apa yang ditonjolkan rakyat melalui keputusan ini, katanya menandakan rakyat menolak politik perkauman dan sentimen ekstrimisme yang ditunjukkan parti lawan.

“Rakyat tolak parti wakil satu kaum. Rakyat mahu PH wakili semua agama dan parti yang bersih serta bebas belenggu rasuah. Itu aspirasi rakyat Balakong dan menjadi mesej yang dihantar rakyat Balakong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 10:11 PM
GUAN Eng (empat kanan) bersama ADUN Balakong yang baru, Wong Siew Ki (empat kiri) dan penyokong meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil DUN Balakong, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Skip this ad x