MASZLEE Malik. FOTO arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan bertemu kumpulan mahasiswa yang membantahan pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di pejabat kementeriannya, Rabu ini.

Maszlee berkata, beliau tidak dapat memenuhi tuntutan mahasiswa berkenaan untuk bertemu semalam kerana berada di Sarawak sejak Khamis lalu untuk lawatan kerja.

Beliau memberi jaminan akan mendengar sendiri segala pandangan dan tuntutan kumpulan mahasiswa dan aktivis yang membantah pelantikannya pada pertemuan berkenaan.

"Saya sudah meminta pegawai saya untuk mengaturkan masa yang sesuai, iaitu pada Rabu ini untuk bertemu dengan kumpulan yang mengadakan bantahan berkenaan.

"Saya dimaklumkan, selain penuntut, sebahagian daripada mereka yang terbabit dalam bantahan itu adalah aktivis dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Saya menghormati hak mereka untuk bersuara. Itu adalah satu daripada 40 insiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementerian Pendidikan.

"Saya memberi jaminan akan prihatin dalam soal kebebasan mahasiswa bersuara serta terus memperkasakan autonomi universiti, selain meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa dan aktivis yang berkampung di hadapan pejabat Kementerian Pendidikan semalam, bagi membantah serta menuntut Maszlee meletak jawatan sebagai Presiden UIAM.

Protes itu turut menyaksikan dua mahasiswa ditahan polis kira-kira jam 2 pagi tadi kerana enggan bersurai seperti diarahkan, namun sudah dibebaskan pada 7.30 pagi.

Maszlee berkata, beliau mengarahkan pegawainya membenarkan kumpulan mahasiswa dan aktivis itu mengadakan bantahan di pejabat kementerian, selain memberi layanan mesra kepada mereka termasuk menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas lain.

Bagaimanapun, katanya, polis terpaksa mengambil tindakan apabila kumpulan itu menghalang laluan utama Parcel E, iaitu kawasan awam serta laluan ke beberapa kementerian lain, selain Kementerian Pendidikan.

"Pegawai saya, atas sifat kemanusiaan dan mengambil berat kebajikan dua mahasiswa yang ditahan, dan mengadakan perbincangan dengan polis untuk membebaskan mereka sehingga jam 7 pagi tadi," katanya.

Rabu lalu, UIAM mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai Presiden ketujuh universiti itu, sekali gus mencetuskan polemik berikutan kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan, mencetuskan konflik kepentingan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, pelantikan Maszlee itu akan dikaji semula susulan dikritik pelbagai pihak yang mengatakan ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Berita berkaitan:

Mahasiswa bantah pelantikan Maszlee ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 1:35 PM