GURU lelaki (kiri) membuat permohonan maaf kerana secara tidak sengaja memberikan lirik lagu berunsur Kristian kepada muridnya. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“SAYA tak perasan,” kata guru sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman di Hulu Dungun yang menimbulkan kontroversi apabila didakwa menyuruh murid beragama Islam menyanyikan lagu berunsurkan Kristian.

Sambil mengakui kesalahannya, guru lelaki itu berkata, dia akan mengambil sikap lebih berhati-hati dan berjanji tidak mengulangi kesilapan sama.

“Mulanya saya ingatkan lagu itu berunsur patriotik, tetapi saya terus tukar selepas tersedar mengenai kesilapan itu ketika latihan.

“Memang salah saya kerana tidak meneliti lirik lagu berkenaan secara terperinci. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyiasat dakwaan murid beragama Islam sekolah terbabit diarah menghafal lirik lagu mengagungkan gereja.

Insiden yang kecoh di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp menjadi tular apabila aktivis pendidikan dan golongan ibu bapa mempertikaikan tindakan itu.

Terdahulu, seorang individu dikenali sebagai Cikgu Izzat melalui Facebooknya berkata, dia mengecam sekeras-kerasnya tindakan guru yang memberikan lirik lagu terbabit dan menyuruh murid Islam menyanyikan lagu berunsurkan Kristian.

Mengulas lanjut, katanya, dia sudah mengadakan pertemuan dengan semua ibu bapa murid Tahun Empat dan memohon maaf di atas kesilapannya itu.

“Saya harap semua murid, guru dan seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung atas kejadian ini dapat memaafkan saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPNT Shafruddin Ali Hussain ketika dihubungi berkata, beliau menganggap perkara berkenaan sudah selesai.

“Kita sudah mengadakan pertemuan dengan guru terbabit dan hasil siasatan mendapati ia tidak disengajakan.

“Guru berkenaan juga mengakui kesilapannya dan sudah meminta maaf. Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan atau dipolitikkan,” katanya.

Berita berkaitan

JPNT perlu siasat dakwaan...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 6:50 PM