FOTO Hiasan
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


PADAH mengaibkan kehormatan bekas teman wanitanya, mekanik dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Omar Aliff Rosli, 32, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Jika gagal bayar denda itu, tertuduh berhadapan hukuman penjara enam bulan.

Muhammad Omar Aliff didakwa mengaibkan kehormatan mangsa berusia 36 tahun sehingga mengganggu kesantunan wanita itu dengan cara mengubahsuai gambarnya sebagai ‘perempuan sundal’.

Gambar itu kemudian dihantar kepada wanita itu melalui Whatsapp.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 2:40 PM