KENDERAAN membawa Musa meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor dan Noor Atiqah Sulaiman
cnews@nstp.com.my


BEKAS Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memberi keterangan lebih dua jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, hari ini.

Terdahulu, Musa yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 11 pagi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan berkenaan sebelum beredar kira-kira jam 2.10 petang dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna perak.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengambil keterangan Musa berhubung dakwaan rasuah itu.

Menurut Azam, pihaknya membenarkan Musa mendapat rawatan dan sihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.

Musa yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah pada 26 Jun lalu mengesahkan beliau berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi serta meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu untuk rawatan perubatan di London.

Beliau pulang ke tanah air pada 21 Ogos lalu dari Seletar, Singapura sebelum mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Selepas meninggalkan Sabah kira-kira empat bulan, Musa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menaiki pesawat khas pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada jam 3.30 petang hari sama.

Berita berkaitan

Musa Aman tiba di SPRM [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 7:52 PM