Lim pada sidang media di Kuching selepas menghadiri sesi taklimat SST. FOTO Jannah Kho
Goh Pei Pei
cnews@nstp.com.my


DAKWAAN RM42 bilion ditinggalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan baharu disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Sebaliknya, Menteri Kewangan, Lim.Guan Eng mendedahkan aliran tunai Kerajaan Malaysia hanya berjumlah RM450 juta sehingga 30 April lalu, kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Adakah anda percaya apabila beliau menyatakan sejumlah RM42 bilion ditinggalkan untuk kita semua? Ia mustahil kerana yang ada cuma jutaan, bukan berbilion seperti didakwa.

“Inilah sebabnya mengapa kita terpaksa memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kerajaan tidak memiliki cukup wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum mempengerusikan Sesi Taklimat Pelaksanaan SST Peringkat Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di Kuching malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Chong Chieng Jen.

Selepas mengharungi tiga bulan tanpa cukai, rakyat negara ini mula dikenakan SST berkuatkuasa 1 September lalu.

“Bagi pihak kerajaan, saya mohon maaf kerana terpaksa melaksanakan kutipan cukai ini walaupun ada permintaan yang mahukan SST ditangguhkan.

“Bagaimanapun, kita tiada pilihan kerana memerlukan dana mencukupi untuk mentadbir urus negara ini. Jika tidak, kita akan berdepan keadaan yang lebih meruncing, termasuk risiko defisit yang boleh memberi impak negatif pada negara,” katanya.

Namun, beliau memberi jaminan kesan sampingan cukai berkenaan kepada peniaga dan pengguna tidak dahsyat berbanding ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu.

Sebagai contoh, katanya, harga model terpilih kereta Perodua yang jauh lebih murah sekarang dan mampu dimiliki oleh rakyat.

“SST mungkin kelihatan sedikit mengelirukan kerana terdapat 5,000 barangan yang diberikan pengecualian. Berbanding GST yang hanya memberikan pengecualian kepada 540 barangan, manakala selebihnya dikenakan cukai membebankan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, kerajaan dari semasa ke semasa melakukan usaha penambahbaikan terhadap pelaksanaan cukai berkenaan, termasuk meneliti senarai barangan dan perkhidmatan yang patut dikenakan SST atau diberikan pengecualian.

“Kita baru saja bermula masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan. Kita akan terus mendengar pandangan dan cadangan rakyat sebelum senarai itu dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.

“Kita yakin akhirnya rakyat akan menyedari bahawa mereka membayar kurang melalui pelaksanaan SST berbanding GST,” katanya.

Beliau juga menggesa Jabatan Kastam menggunakan pendekatan lebih mesra dalam mendepani pemain industri, khususnya komuniti perniagaan berhubung pelaksanaan SST.

“Kita tidak mahu bersikap agresif dan tergesa-gesa dalam mengambil tindakan. Sebaliknya, kita mahu menggunakan pendekatan berhemah, mendidik dan memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan SST, bukannya menghukum mereka,” katanya.

Lim berkata, sumbangan pembayar cukai cukup besar dan penting terhadap negara, malah sewajarnya mereka dihargai.

“Sejak 1 September lalu, pelaksanaan SST berjalan lancar dan tiada masalah atau isu besar yang dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 12:29 AM