MUSA (tengah) berada di Terminal KKIA untuk pulang ke Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@nstp.com.my


SELEPAS mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, petang hari ini, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bergegas kembali ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas, malam ini.

Pesawat dinaiki beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 10 malam.

Sebelum itu, beliau tiba di Terminal 2 pada jam 9.30 malam dengan diiringi beberapa pemimpin UMNO antaranya ADUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ADUN Lumadan Matbali Musa dan bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau tiba di Sabah jam 12.30 tengah hari hari ini dengan disambut ribuan penyokong sebelum ke bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu selesai mengangkat sumpah jam 3.33 petang di hadapan Speaker DUN, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Difahamkan, Musa pulang malam ini ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pemimpin UMNO atau individu yang rapat dengan Musa bagi mengesahkan sama ada beliau akan kembali mendapatkan rawatan kesihatan di sebuah hospital di Subang Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:30 PM