HIASAN.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


HANYA kerana ibunya terlupa membeli air batu, seorang lelaki tergamak mengancam dan cuba menyerang keluarganya dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Bekelit, Miri, baru-baru ini.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 34 tahun itu terbalas apabila ditahan polis berhampiran rumahnya jam 3.30 petang semalam.

Sumber berkata, suspek cuba menetak bapa dan abangnya menggunakan parang dalam kejadian di rumah mereka pada Isnin lalu.

“Suspek tiba-tiba mengamuk kerana ibunya berusia 70-an terlupa membeli air batu mengakibatkan suspek cuba menyerang keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bapa suspek berusia 75 tahun berjaya merampas parang di tangan anaknya itu.

“Namun, suspek mengamuk dan cuba membakar tong gas mengakibatkan keluarganya melarikan diri,” katanya

Katanya, bimbang dengan tindakan suspek, bapanya kemudian membuat laporan di Balai Polis Bekenu berhubung kejadian.

“Suspek kemudiannya ditahan, manakala parang yang digunakannya turut dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 8:10 PM