PENGUNJUNG melihat haiwan peliharaan yang dipamerkan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Aksi kucing pelbagai baka mengenakan pakaian tradisional dan Jalur Gemilang mencuri tumpuan 9,000 pengunjung program kemerdekaan anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Wangsa Walk di sini, Ahad lalu.

Pemilik kucing baka American Bobtail, Maszura Sahari, 43, berkata, dia mengambil masa tiga hari menjahit gaun Jalur Gemilang untuk diperagakan kucing kesayangan keluarganya, Fify yang dipelihara sejak 10 bulan lalu.

“Saya saja masuk pertandingan itu, kebetulan Fify tidak banyak ragam dan suka bergambar.

“Idea mereka pakaian Fify ala-ala puteri ini datang dengan sendirinya kerana kami mahu tampilkan jantinanya selain menyayanginya bak puteri.

“Tidak sangka rekaan saya dan persembahan Fify menarik perhatian juri hingga tersenarai lima terbaik dalam pertandingan itu,” katanya yang hanya mengeluarkan modal RM15 untuk menyiapkan busana kucingnya itu.


PEMILIK bersama kucing kesayangan yang dipakaikan busana Jalur Gemilang.

Sementara itu, Presiden KKM, Khalid Rashid berkata, program kali kedua terbabit dianjurkan sempena memeriahkan sambutan kemerdekaan di samping mengutip dana Tabung Kebajikan Haiwan KKM.

“Setiap yuran penyertaan disalurkan ke Tabung Kebajikan Haiwan KKM.

“Acara kucing memperagakan pakaian masing-masing paling unik kerana haiwan itu menggayakan baju kurung, Melayu dan Jalur Gemilang.

“Kriteria pemenang dinilai berdasarkan kreativiti dan persembahan mengikut tema,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menganjurkan acara jualan anak benih bunga raya untuk disumbangkan kepada rumah perlindungan kucing.

“Dengan mengambil simbolik bunga raya sebagai bunga kebangsaan, kami memilih menjual pokok bunga itu dengan setiap pasu berharga RM20. Hasilnya disumbangkan untuk kebajikan kucing yang mendapat perlindungan di Sue Ulik Mayang,” katanya.

Menurutnya, 200 haiwan peliharaan seperti kucing, ikan, arnab, ular, ketam, burung, sugar glider dan hamster dipamerkan untuk memupuk semangat cintakan haiwan dalam kalangan masyarakat.


GAYA kucing memperagakan pakaian bertema Hari Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:48 AM