FORUM Masterclass: Impak GST kepada SST oleh CPA Australia dan New Straits Times di Balai Berita, Bangsar, semalam.
Nabil Basaruddin dan Amir Hisyam Rasid
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Lebih banyak barang khususnya yang berkaitan dengan produk makanan dijangka diberikan pengecualian terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga hujung tahun ini.

Pengarah Cukai Tidak Langsung, Ernst & Young Tax Consultant Sdn Bhd, Jalbir Singh Riar berkata, pihaknya melihat langkah berkenaan bakal dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dengan mengambil segenap perhatian khususnya yang membabitkan kepentingan dan keperluan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, usaha yang diambil kerajaan dengan mengecualikan barangan seperti susu berperisa, makanan laut dan barang keperluan asas lain supaya ia dapat dinikmati rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tanpa dikenakan cukai.

Malah, usaha itu juga adalah bukti bahawa lebih banyak barang daripada segmen makanan akan digazet dan dikecualikan daripada cukai terbabit.

“Produk berkaitan makanan adalah sebahagian yang dijangka menerima lebih banyak pengecualian selepas ini kerana masih terdapat banyak barang dari kategori ini yang tidak dikecualikan lagi.

“Kerajaan prihatin dengan masalah yang dilalui rakyat berkaitan kos sara hidup. Oleh itu, pengecualian ini akan mengambil kira kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan bawah (B40),” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi kedua Forum Masterclass: Impak GST kepada SST oleh CPA Australia dan New Straits Times di sini, semalam.

Sesi berkenaan turut disertai dua ahli panel lain iaitu Ketua Kastam dan GST Negara Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew dan Ketua Prestasi Pelaporan Pengurusan Maklumat Enterpris dan Percukaian Kumpulan Maybank, Surin Segar serta Pengarang Integrasi Bisnes NSTP, Lokman Mansor sebagai moderator.

Pada 20 Ogos lalu, Dewan Negara meluluskan semua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan SST merangkumi RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Setakat ini, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST berbanding kira-kira 500 barang saja ketika rejim GST manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus selain lebih 600 barangan bagi cukai jualan sebanyak lima peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:29 AM