Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


LELAKI yang mengamuk dan membakar bilik doktor di Hospital Lam Wah Ee, Georgetown, semalam direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati suspek, 39, mempunyai masalah mental.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati suspek pernah dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana masalah kesihatan dialaminya.

“Setakat ini, kita menahan suspek yang masih bujang itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.


ASISTEN Komisioner Che Zaimani Che Awang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, seorang doktor, jururawat dan pesakit warga Taiwan cedera akibat disambar api yang dicucuh suspek ketika berada dalam bilik doktor di tingkat satu hospital berkenaan.

Suspek ketika itu membawa petrol dan meluru masuk ke bilik berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara dia dengan doktor lelaki terbabit.

Bagaimanapun, suspek sempat menyalakan api yang kemudian menyambar doktor serta menyebabkan kebakaran di bilik itu.

Suspek juga dilaporkan turut mengalami kecederaan melecur di tangan.

Che Zaimani berkata, doktor terbabit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang manakala seorang lagi mangsa turut dirawat di hospital swasta berkenaan.

Berita berkaitan

'Hang pasai pa?'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:57 PM