PEKERJA restoran mamak melekat notis pemberitahuan berkenaan caj SST yang berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Hidayatul Akmal Ahmad
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyatakan restoran mamak dalam persatuan itu tidak menaikkan harga makanan dan minuman selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Sabtu lalu.

Presiden PRESMA, Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, harga kekal bagi makanan dan minuman di restoran mamak.

“Hanya enam peratus cukai perkhidmatan ditambah ke dalam bil,” katanya, semalam.

Tinjauan di restoran mamak sekitar Bangsar mendapati harga makanan dan minuman tetap sama.

Setiausahanya, Mardiana Mokhtar berkata, harga makanan dan minuman tidak jauh berbeza dengan harga terdahulu bagi hidangan restoran mamak selepas SST.

“Pelaksanaan SST masih awal untuk dinilai. Paling penting, SST hanya mengenakan cukai terhadap sebahagian barangan, berbeza dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila semua barangan dikenakan cukai,” katanya.

Bagi suri rumah, Nur Marlina Arbian, 39, ada kebaikan dan keburukan pelaksanaan SST di negara ini.

“Jika pelaksanaan SST membantu kerajaan membayar hutang saya fikir ia perkara baik,” katanya.

Bagi jurujual farmaseutikal, Khairul Fahmi Ramli, 33, sebahagian rakyat Malaysia masih keliru dengan pelaksanaan SST.

“SST masih baru sebab itu mereka fikir SST membebankan rakyat,” katanya.

SST dilaksanakan mulai 1 September 2018, menggantikan GST yang dimansuhkan. Ia dijangka meringankan beban rakyat kerana kerajaan hanya mengutip RM21 bilion dalam SST pada 2019, berbanding RM44 bilion dalam GST sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:19 AM