Al Baayah bersama Abu Samah menjual durian kampung musim kedua di tepi Jalan Pekan-Batu Balik.
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my

Pekan: Musim kedua pengeluaran durian kampung memberi pendapatan lumayan kepada pemilik dusun raja buah di daerah ini yang mampu menjual 100 hingga 150 biji setiap hari.

Aktiviti pasaran dilakukan di tepi Jalan Pekan-Batu Balik di sini, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan peniaga menjual secara longgok empat hingga 10 biji dengan harga RM30 hingga RM150 selonggok bergantung kepada jumlah dan saiz buah.

Peniaga, Al Baayah Harun, 54, berkata, pengeluaran durian dua kali setahun jarang berlaku di daerah ini dan jumlah buah bertambah berbanding pada musim pertama.

Katanya, musim pertama pengeluaran durian pada dua bulan lalu dianggarkan lebih dua tan, namun pada musim kedua ini jumlahnya bertambah kepada lima tan.

“Saya mempunyai lebih 100 pokok durian kampung di kawasan lebih dua hektar di Kampung Padang Rumbia, kini aktiviti harian saya dan suami, Abu Samah Osman, 62, memungut buah dan menjualnya di tepi Jalan Pekan-Batu Balik.

“Rezeki saya dan pekebun lain di beberapa kampung di sini bertambah apabila pengeluaran durian berlaku secara luar biasa, sebelum ini ia jarang berlaku,” katanya yang menetap di Taman Seri Inderapura, Kuantan.

Katanya, ia sekali gus memberi pendapatan lebih kepada pekebun terdiri daripada penduduk kampung yang bergantung kepada aktiviti pertanian seperti menanam pisang, getah dan kelapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:09 AM