ANWAR. FOTO Sharul Hafiz Jam
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak mudah baginya mentadbir negara ketika ini sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Umum PKR itu berkata, ini kerana keadaan ekonomi negara kini berada pada tahap membimbangkan susulan hutang lebih RM1 trilion yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Kalau ditakdirkan saya jadi Perdana Menteri (dalam masa terdekat) adalah tidak mudah kerana tiada siapa boleh menjangkakan ekonomi kita seteruk ini.

“Kita terpaksa berdepan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan masalah berkaitan FELDA oleh kerajaan terdahulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang (MATC) 2018 Kedah/Perlis, di Alor Setar. .

Anwar yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen sebelum hujung tahun ini sebagai proses bagi menjadi Perdana Menteri ke-8.

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya meminta rakyat negara ini supaya bersabar dengan usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara yang disifatkannya berada pada tahap 'berat'.

“Masalah ekonomi kita berat, kena guna kebijaksanaan untuk menyelesaikannya jadi kena sabar. Pihak (UMNO) yang marah kita sebab tak selesaikan lagi (masalah) tak kenalah sebab yang buat masalah itu mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan PKR yang berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan, pihaknya tidak akan menyingkirkan mana-mana pemimpin yang kalah sebaliknya akan tetap diberi peranan dalam menerajui parti.

Katanya, beliau tidak 'rela' mana-mana pemimpin dalam PKR yang mempunyai kedudukan dan jawatan menggunakan kelebihan itu untuk menarik undi dari ahli parti.

Malah, beliau tidak menolak untuk 'menggugurkan' mana-mana pemimpin yang dikesan menyalahgunakan kedudukan yang ada untuk meraih sokongan pada pemilihan parti kali ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Anwar berkata pihaknya akan muktamadkan mengenai kerusi mana yang akan ditandinginya dalam masa terdekat ini bagi membolehkan beliau masuk ke Parlimen seawalnya Oktober ini.

“Kita akan pertimbangkan beberapa cadangan dan akan muktamadkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:51 PM